Mendidik Anak secara Islami
tokoniaga - Mendidik Anak secara Islami - Menurut perspektif Islam, pendidikan
kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani
mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan
pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan ” Insan Rabbani”
yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
Falsafah pendidikan sebenarnya
menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri
yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat,
bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.
Mendidik Anak secara Islami - Membentuk Dunia Kanak-kanak.
Sebelum anak-anak dilahirkan,
ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan
sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah
ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa
perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan
rumahtangga terlebih dahulu.
Jika pasangan suami isteri
menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia
mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami
isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan
rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan
budaya hidup Islam.
Atas itulah Rasulullah S.A.W
mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai
kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau
harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“wanita
dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan
kamu(lebih utama)”
Mendidik Anak secara Islami - Ketika
Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika
bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih
bercorak kerohanian, iaitu:
1.
Bagi ibu-ibu yang mengandung
digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf,
Mariam, Luqman dan At-Taubah.
2.
Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada
Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang
soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.
3.
Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki
daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang
daripada darah daging yang halal.
4.
Ibu hendaklah makan makanan yang
berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah
diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan
amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada
ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu
menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
5.
Ketika mengandung, ibu perlulah
menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada
waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu – waktu biasa,
terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera
makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar
kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika
ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan
yang kuat kepadanya
Mendidik Anak secara Islami - Setelah
Anak Dilahirkan
Setelah anak dilahirkan, hendaklah
segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.
Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis
yang bermaksud:
”
Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya
ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a” (Riwayat Abu Daud dan Termizi)
Sebagai suapan yang pertama, sunat
bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a.
dalam sebuah riwayat mengatakan:
“Isteriku
melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda
menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah
dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu
diserahkan kembali kepadaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu
bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor
kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya
pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan
rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang
bermaksud:
“Setiap
anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan
dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan
dicukur kepalanya”. ( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)
Bagi ibu yang menyusukan anak, ia
perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak,
hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur,
dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan
sebagainya.
Apabila anak sudah mulai pandai
bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti
selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.
Mendidik Anak secara Islami - Umur
antara 5 hingga 7 tahun.
Pada peringkat anak umur antara 5-7tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian
antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan
diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang
sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan
pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama
ahli keluarganya.
Menurut pandangan Islam, pada
peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca,
mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini
ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur
mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang
mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:
1.
Mendidik anak supaya taat dan
beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa
pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur
kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan
hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.
2.
Mengajar anak supaya taat dan
beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang
yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih
tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.
3.
Mengajar anak bercakap atau bergaul
dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan
mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif
dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab
itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan
bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.
4.
Mengajar anak-anak adab bergaul
dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau
meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau
mengambil hak orang lain .
5.
Mengajar anak adab makan minum yang
baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah
ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti
mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.
6.
Mengajar anak adab berpakaian;
pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk
kepada orang lain.
7.
Mengajar adab dan bangun daripada
tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan
selepas bangun daripada tidur.
8.
Mengajar anak adab masuk dan keluar
tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke
dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan
sebagainya.
Anak-anak merupakan amanah Allah
yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar
kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka
ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya
dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam
Demikian Pemaparan tentang Mendidik Anak secara Islami, Semoga Bermanfaat.
Demikian Pemaparan tentang Mendidik Anak secara Islami, Semoga Bermanfaat.
Sumber : http://deltapapa.wordpress.com
0 komentar:
Posting Komentar